Teknik penanaman gaharu – Utusan Malaysia online 19/03/2010
Pada umumnya terdapat dua spesies pokok yang menghasilkan gaharu iaitu pokok karas (Aquilaria spp.) dan cendana (Gyrinops spp.). Proses terjadinya gaharu apabila pokok yang mengalami luka atau diserang penyakit dan kulat yang menjangkiti pokok tersebut merebak ke dalam jaringan pembuluh kayu (vesel). Untuk terus hidup, kulat tersebut akan menggunakan cairan sel dalam saluran pokok sebagai sumber tenaganya atau makanannya secara perlahan-lahan sehingga menyebabkan kurang atau terhentinya penghantaran makanan kepada daun. Sel-sel yang isinya sudah dimakan oleh kulat akan membentuk suatu kumpulan sel mati pada jaringan pembuluh kayu. Hasil tindak balas kimia dalam kayu tersebut akan menghasilkan resin atau damar wangi yang dinamakan gaharu dan apabila dibakar akan mengeluarkan aromanya yang tersendiri.